[Bila aku perlukan pemerhati melebihi pendengar....]

Showing posts with label SS. Show all posts
Showing posts with label SS. Show all posts

Wednesday, December 26, 2012

9

Uyin masih berdiri di depan rak yang sama. Matanya melilau memandang sekeliling. Walaupun sudah hampir dua tahun menjadi isteri orang, dia tidak pernah membeli apa-apa produk daripada rak di hadapannya ini. Terdapat pelbagai jenama dan harga yang berbeza dengan kuantiti yang berlainan juga. Dia mula rasa  malu dan serba salah. Malu untuk selamba sahaja membeli satu produk itu dan serba salah kerana perasaan ingin kepastian mengalahkan rasa malu. Akhirnya dia nekad mencapai satu kotak dan terus berlalu menuju kaunter untuk membuat pembayaran. Uyin sahaja yang menggelabah walhal petugas kaunter tidak memberi sebarang reaksi pelik. Mungkin memang menjadi tugas mereka untuk memberi keselesaan kepada pelanggan farmasi terkenal itu.
Selesai membuat pembayaran, Uyin segera keluar dari farmasi itu. Dia melangkah menuju kedai kegemarannya setiap kali berkunjung ke Sunway Pyramid- Popular Bookstore. Dia mampu menghabiskan masa berjam-jam dalam kedai buku itu. Pernah sekali dia terlalu leka sehingga tidak sedar hari sudah lewat dan kedai sudah mahu tutup. Buku dan pelbagai alat tulis memang menjadi minatnya. Dia sudah biasa menggunakan beberapa ratus daripada gajinya setiap bulan hanya untuk membeli buku. Mujurlah suaminya amat memahami dan sudi menyediakan rak khas di bawah tangga hanya untuk buku-buku Uyin yang kini mencecah ratusan unit. Namun hari ini entah kenapa dek kerana berdebar yang melampau selepas keluar farmasi, minatnya untuk berlama di kedai buku tumpul. Dia tidak sabar mahu segera balik ke rumah dan memulakan misinya.
Sekadar sempat membeli tiga buah novel karya Kerrelyn Sparks, dia segera bergegas untuk pulang ke rumah. Dia perlu memastikan apa sahaja keputusan yang bakal diterimanya sebelum Zaqwan, suaminya pulang. Dia tidak mahu lebih panik jika suaminya sudah ada di rumah. Sebaik tiba di rumah, dia bergegas ke bilik mandi untuk melakukan ujikaji. Dia tahu dia tidak boleh terlalu berharap, tapi hati kecilnya memaksa. Selepas siap ujikaji, dia tidak menunggu sahaja di dalam bilik mandi sebaliknya terus keluar kerana terlalu berdebar. Dia mula berkira-kira sama ada mahu masuk dan melihat keputusan ujikaji atau hanya biarkan suaminya terjumpa keputusan itu - positif atau negatif.
Tidak lama selepas itu, suaminya pulang. Uyin semakin berdebar dan tidak keruan. Dia menuruni tangga dan menyalami suaminya. Dia bercadang mahu memujuk suaminya untuk makan malam di luar sahaja. Keinginan untuk memasak sudah hilang akibat debaran yang bakal diterima seketika nanti. Dia berharap suaminya tidak turut panik apabila melihat alat penguji kehamilan yang diletakkan di atas sinki dalam bilik mandi mereka. Uyin tahu Zaqwan amat berharap untuk menjadi bapa dalam tempoh terdekat sedangkan dia sendiri tidak pasti sama ada dia sudah bersedia atau tidak. 
"Kita makan luar nanti, ya? Uyin tak sempat masak. Miq mandi dululah." Dia memancing suaminya untuk mandi sementara dia bersiap untuk keluar. Perasaannya masih sama. Debaran makin memuncak. Dia sendiri tidak tahu bagaimana Zaqwan berdepan dengan situasi kali ini.
"Boleh saja, tapi Miq tak larat nak drive. Uyin tolong ya?" Zaqwan mencapai tuala dan segera masuk ke bilik mandi. Tidak lama selepas itu dia menjerit dari dalam bilik air dan segera bergegas keluar dan memeluk Uyin  yang terpinga-pinga. " Uyin sengaja suruh Miq mandi kan? Thank you sayang! Miq happy, Miq bersyukur. Kita akan jadi mummy dan daddy tak lama lagi!" Berkali-kali Zaqwan mencium pipi Uyin yang jelas masih terkejut dan bingung. Dia tidak bersedia menerima apa pun keputusan ujian tadi. Namun melihat reaksi Zaqwan, dia mulai yakin dan turut gembira. Syukur ya Allah! Bisik Uyin di dalam hati. 

Saturday, December 22, 2012

8

Dia memerhati sekeliling  kafe mencari wajah yang ingin ditemuinya. Setelah pasti kedudukan wanita itu, dia segera merapati meja dan selamba menarik kerusi untuk duduk. Tika yang duduk di meja sedikit terkejut dengan kehadiran Hasif yang mendadak. Hasif hanya tersengih menampakkan gigi yang tersusun kemas. Dia suka melihat wajah geram wanita itu. Dia sentiasa mendambakan sapaan mesra wajah itu saban hari.
"You ada temujanji ke kat sini? I ajak lunch pun you tolak,tak macam selalu. Why?" Pertanyaan Hasif sedikit menggusarkan Tika. Dia sudah bertemujanji dengan Zaqwan hari ini. Dia mahu menjalin semula persahabatan lama dengan lelaki itu. Kehadiran Hasif yang sememangnya seorang yang suka cemburu buta memeningkannya.
"I nak jumpa my old friend. He's working somewhere around here. You ada meeting ke kat sini?" Tika cuba menyembunyikan gugupnya. Dia amat berharap Hasif sekadar datang mahu menyapa dan akan segera berlalu untuk urusannya.
"Then I guess I should stay with you. I pun nak kenal whoever your old friend tu. Lagipun since Scotland, you never introduce to me anyone. Tak salah kan I nak kenal dia sekali?" Darah mula menyerbu muka Tika. Dia tidak langsung menjangka Hasif akan memberi jawapan itu. Waktu ini dia hanya mampu berdoa Hasif tidak buat hal dengan Zaqwan.
"Hai, lama tunggu. Sorry sangat, tadi I kena hantar dokumen kat office my wife, dia tertinggal pagi tadi." Zaqwan muncul secara tiba-tiba menyapa. Hasif bingkas bangun dan menyalami Zaqwan. Lama matanya menatap Zaqwan sebelum dia tiba-tiba memeluk Zaqwan.
"Wei, aku Hasiflah. Kau lupa ke? Kita satu sekolah kat MRSM dulu. Satu dorm. Aku Aceh!" Melihat Zaqwan yang masih terpinga-pinga, Hasif beria-ria cuba mengembalikan memorinya.
"Ya Allah, baru aku ingat! Kau nampak lain sangat sekarang Aceh. Mana aku nak perasan. Macam mana kau boleh kenal dengan Tika? Kami kawan masa di INTEC dulu." Zaqwan tidak menyangka akan bertemu kembali dengan sahabat karibnya ketika sekolah dulu. Ketika mereka sama-sama berdikari di tempat asing tanpa keluarga. Aceh seorang memahami dan paling akrab dengannya.
"Tika tak bagitahu ke? Aku tunang dia. Kami kenal masa dia di Scotland. What a small world. Kau rupanya kawan lama yang dia cakap tadi. Aku ingat malaun mana nak usyar tunang aku." Hasif berseloroh sambil memeluk bahu Tika yang masih tidak menyangka kedua-dua lelaki itu sudah lama kenal. Dia merasa lega kerana tidak perlu susah hati dengan reaksi Hasif.
"Aku tahu dia ada tunang, tapi tak tahu engkau tunang dia. Aku dah kahwinlah Aceh. Macam ini, next time kalau wife aku buat makan-makan, jemputlah datang rumah. Dia mesti tak sabar jumpa kawan-kawan aku. Dah selalu dia bising aku malas jemput kawan aku ke rumah." Zaqwan betul-betul gembira bertemu kembali dengan Hasif. Dulu mereka terpisah setelah masing-masing membawa haluan selepas tamat SPM. 
 "Apa kau buat sekarang? Tika bagitahu kau kerja dekat sini kan?"
" Aku kerja kat bangunan ini juga. Kerja biasa je, nak sara isteri. Tak lama lagi nak sara anak. Kau pula?" Zaqwan begitu teruja sejak mengetahui isterinya mengandung. Dia mendesak untuk menghantar Uyin ke tempat kerja setiap hari.
"Wah, kau dah nak jadi bapak orang la ni? Tahniah Miq! Aku sekarang dengan business aku lah. Buat franchising untuk restoran-restoran mewah. Kau pun tahu minat aku dengan makanan kan?" Hasif memang terkenal ketika zaman mereka di MRSM sebagai seorang yang kuat makan. Makcik kantin asrama cukup kenal dengan dia.
"Betullah tu, sesuai sangat kau dengan restoran. Tapi dulu kau lain, gebu, sekarang macho habis ni." Kata-kata Zaqwan disambut tawa Tika dan Hasif.
"Jangan malukan aku depan Tika ni. Kantoilah aku tak macho masa sekolah. Susahlah nak cari makan macam ni." Sekali lagi tawa mereka bersatu. Tika gembira, Hasif boleh berubah karakter dengan Zaqwan. Selalunya Hasif seorang yang serius dan tidak suka melawak.
"Untunglah kau dengan Tika. Bila nak langsung ni? Jangan lambat-lambat, rugi. Aku dah masuk 2 tahun kahwin."
 "Tunggu seru lah. Lagipun Tika asyik sibuk outstation. Aku pula sibuk dengan meeting and cari client. Parents kami pun bising, tapi aku buat tak tahu saja." Pandai sahaja Hasif memberi alasan. Tika hanya membisu di sebelahnya. Dia sedar Hasif jarang berbicara soal kahwin. Dia pun sudah malas mahu fikir.
Pertemuan mereka menggamatkan kafe. Masing-masing ingin melepaskan rindu dan sempat berkongsi perkembangan terkini mereka. Tika akhirnya meminta diri untuk kembali ke pejabat. Hasif dan Zaqwan masih setia berbual di kafe sehingga lewat petang. Zaqwan sememangnya tidak mempunyai agenda lain di pejabat selepas waktu makan tengah hari. Jadi dia mengambil peluang itu untuk menghabiskan masa berbual dengan Hasif.

Thursday, December 13, 2012

7


Kerjanya masih menimbun. Cuaca di Kuala Lumpur makin tidak menentu sekarang. Jika paginya panas terik sehingga lewat petang, kemudian hujan pula sehingga tengah malam. Dia sudah memaklumkan kepada Zaqwan bahawa dia terpaksa OT hari ini. Dia mesti siapkan kerja-kerja itu sebelum dapat bercuti mengikut suaminya ke Dubai. Sudah beberapa kali dia menolak ajakan suaminya kerana desakan kerja serta tumpuannya kepada studio seninya, namun kali ini dia terpaksa beralah kerana suaminya sudah merajuk panjang.

Suaminya bekerja sebagai Ketua Jurutera Mekanikal dengan sebuah syarikat Jepun yang bertapak di Malaysia. Kerjanya menuntut dia untuk kerap ke luar negara untuk memenuhi tempahan serta meneliti hasil kerja wakil luar pihak syarikat. Dia disegani di kalangan rakan sepejabat yang berbangsa Jepun kerana kefasihannya berbahasa ibunda mereka. Kerapkali majikannya mengusulkan dia bekerja sahaja di ibu pejabat mereka di Jepun tetapi dia terpaksa menolak kerana Uyin.

Uyin cuba fokus untuk menyiapkan kertas kerja untuk diserahkan kepada ketua jabatannya esok. Dia sebolehnya cuba menahan lapar gara-gara dia terlupa untuk keluar makan tengah hari tadi dek kerana kerja yang menimbun. Fail-fail rujukan disusunnya ke bahagian tepi meja kerja. Dia memerhati sekeliling sebelum bingkas bangun menuju ke pantri. Sambil menunggu cawannya penuh dengan neslo panas, dia sempat mengirim SMS kepada suaminya mengatakan dia mahu bermalam di studio merangkap apartment lamanya yang terletak tidak jauh dari pejabat.

            Sedang asyik dia menghirup perlahan minumannya, dia menerima balasan SMS berupa kebenaran daripada Zaqwan yang turut risaukan keselamatan isterinya pulang ke rumah mereka yang agak jauh lewat malam begini. Dia menghela nafas lega dan segera menuju ke meja kerja untuk mengemas fail-fail serta Macbook Air kesayangannya untuk dibawa ke studio. Dia sudah tidak betah lagi berlama di pejabat seorang diri. Dia perlu bersihkan diri dan solat untuk mengembalikan semangatnya untuk menyambung kerja. Mujurlah perjalanan dari pejabat ke studionya hanya memakan amsa 10 minit. Setelah tiba di studio, dia menyalakan semua lampu dan bergegas untuk mandi. Studio itu tetap kemas kerana dia selalu memastikan ada part time maid yang akan datang 4 kali sebulan untuk merapikannya.

Jam sudah hampir ke tiga pagi. Masih ada dua muka surat untuk disiapkan sebelum dia dapat melelapkan mata. Kertas kerja itu penting untuk mesyuarat tender baru yang diperoleh syarikatnya. Dia mahu menunjukkan kerja yang bermutu dan tidak memalukan syarikatnya. Tepat jam empat, kerjanya selesai dan dia tidak menunggu lama untuk tidur. Dibiarkan sahaja semua lampu terpasang kerana rasa kurang yakin dengan keselamatan diri. Sempat juga dia berkalih ke kiri dan kanan sebelum berjaya melelapkan mata tanpa Zaqwan di sisi.

            “Nurin, terima kasih. Awak memang berbakat. Kami harap awak akan terus tunjukkan prestasi sebegini pada masa akan datang.” Terasa berbaloi pengorbanannya menyiapkan kerja dengan mengabaikan masa peribadi apabila dihargai oleh majikannya. Dia ikhlas melakukan kerja dan perhargaan itu amat bermakna namun dia selalu beringat untuk tidak lalai dan berikrar untuk lebih berjaya kelak. Dia menghubungi suaminya untuk mengajak suaminya makan malam di luar selepas habis waktu kerja. Sudah lama dia tidak menjamu selera di Restoran Ali Cafe atau lebih dikenali sebagai kedai bomba yang terletak di hadapan Balai Bomba Bangsar.

Zaqwan sudah sedia menantinya ketika dia sampai maklumlah pejabat suaminya tidak jauh dari restoran itu. Dia terpaksa menempuh kesesakan lalu lintas di tengah Kuala Lumpur untuk ke sini. Namun dia rela kerana sudah hampir setahun dia tidak ke sini. Selepas memesan makanan kesukaannya iaitu sup ekor serta nasi goreng cendawan, dia terus bergegas ke tandas. Sejak akhir-akhir ini dia kerap  buang air kecil dan badannya tidak selesa. Zaqwan turut berasa risau namun dia sudah puas memujuk isterinya untuk berjumpa doktor. Ada sahaja alasan yang bakal didengari setelah usul itu diberi.
           
            

6

Tika menoleh ke sisi kanan katilnya. Hasif masih lena berserta dengkuran halus. Lelaki ini pernah menyelamatkannya suatu ketika dahulu. Lelaki ini juga yang meragut nilai kewanitaannya. Dia hanya tegar bertahan di samping Hasif kerana seteruk manapun layanannya, dia masih boleh memujuk Tika. Hasif memang kasar tapi Hasif juga pendengar yang hebat. Hasif tidak pandai berkata-kata manis, tapi dia boleh memahami perasaan wanita itu. Bukan salah Hasif seratus peratus dalam peristiwa di Scotland tiga tahun lepas. Tika turut merelakan perbuatan Hasif. Namun hatinya tetap mahu mengatakan Hasif yang menodainya. 
Penat berkalih, Tika bangkit dan berjalan perlahan menuju meja solek di hadapan katil. Dirapikan rambut dan wajahnya sebelum berlalu keluar bilik. Tekaknya haus minta diisi minuman. Hujan masih lebat dan dia sendiri malas mahu ke mana-mana pagi hujung minggu ini. Mamanya, Puan Sri Budriah sering menelefonnya sejak akhir-akhir ni. Setiap kali panggilan pasti dengan usul yang sama, meminta Tika bekerja sahaja dengan papanya, Tan Sri Azman Don. Terlalu banyak dan lama dia memberi kebebasan kepada Tika sehingga anaknya semakin sukar menerima nasihat malah tidak menampakkan minat untuk pulang ke pangkuan keluarga menemaninya di rumah agam milik mereka di Kajang.
Hasif adalah tunangannya. Mereka sudah lima bulan tinggal bersama. Mamanya dan keluarga Hasif tahu tentang itu dan tidak pernah kisah kerana kehidupan mereka memang bebas dan kebaratan. Apa yang penting, mereka pandai menjaga nama keluarga serta bijak membawa diri. Paling dia suka, Hasif tidak pernah masuk campur mengenai kerjaya pilihannya malah Hasif sendiri yang sarankan dia bekerja di tempat kerjanya sekarang. Ketuanya, Josiah adalah saudara jauh Hasif. Hasif merupakan jejaka kacukan Australia dan Melayu Serani. 
Tunangnya itu mempunyai rangkaian restoran eksklusif di sekitar Kuala Lumpur. Mereka mula berkenalan ketika Tika menuntut tahun pertama di University of Strathclyde, Scotland. Hasif ketika itu sedang mencari peluang perniagaan di kota Edinburgh. Perkenalan singkat di sebuah restoran ketika cuti musim panas itu membuahkan bibit-bibit asmara kedua mereka. Mereka kemudiannya menjalin cinta dan hidup bebas di sana sehingga Tika tamat pengajian. Sekembalinya mereka ke Malaysia, mereka mengikat tali pertunangan sekadar memenuhi permintaan kedua keluarga yang kononnya mahu menutup mata saudara mara.
Seminggu selepas pertemuan semula Tika dan Zaqwan, timbul rasa rindu Tika pada Zaqwan. Sejak mereka belajar di Intec dia menyimpan perasaan terhadap Zaqwan, tapi mengenangkan rupanya ketika itu tidak semenggah disimpan perasaannya. Perasaan itu tidak sama ketika bersama Hasif. Perasaan itu sukar dinilai dan terlalu kemas tersimpan. Sikap Zaqwan yang merendah diri serta tidak kedekut ilmu menjentik tangkai hatinya. Dia jatuh cinta kali kedua kah? Tapi Zaqwan sudah beristeri dan dia sudah ada Hasif. Walaupun Hasif belum melamarnya untuk berkahwin, tapi dia tetap terikat dengan Hasif.

Sunday, December 9, 2012

5

Memang lumrah kehidupan di kota Kuala Lumpur, waktu-waktu sebegini jalan raya penuh sesak. Fikiran Uyin tambah kusut bila mengenangkan dia bakal terlewat untuk mesyuarat penting di pejabatnya. Dia tahu khilafnya yang terlalu asyik menonton siri anime bersama Zaqwan semalam menyebabkan dia tidur lewat. Natijahnya pagi ini dia terlewat bangun dan terlepas solat Subuh. Entah mengapa pagi itu jam yang siap dikunci kebiasaanya tidak menjalankan rutinnya seperti biasa. Mungkin semua benda mogok dengan Uyin. Keretanya juga buat hal pagi-pagi lagi. Akhirnya dia terpaksa memujuk Zaqwan untuk menghantarnya ke pejabat. Suaminya turut menjadi mangsa bersesak di Jalan Sultan Ismail sedangkan pejabatnya hanya di Bangsar.
"Miq dah berapa kali pesan suruh Uyin hantar servis kereta Uyin, tapi Uyin buat tak tahu saja. Kalau dari awal Uyin dengar cakap Miq, mesti Uyin tak lewat pergi pejabat dan Miq pun tak perlu batalkan discussion Miq dengan klien dari Pahang tu." Memang Zaqwan akan membebel setiap kali isterinya sukar mendengar nasihatnya, namun telinga Uyin seakan sudah kebal dan sudah lali dengan setiap saranan dan bebelan Zaqwan.
"Miq, kalau tolong tu ikhlas sikit boleh tak? Bukan saja-saja Uyin mintak Miq hantarkan. Lagipun buat apa Uyin bazirkan duit nak hantar servis kereta tu sedangkan kereta tu elok saja. Bukan Uyin bawa kereta tu pergi site pun!" Zaqwan hanya mampu mencebik bila mendengar alasan Uyin. Isterinya memang pantang ditegur, ada sahaja alasan yang dia berikan.
Akhirnya setelah menempuh kesesakan jalan raya selama dua jam, Uyin tiba juga di pejabat. Dia pantas menyalami tangan suaminya dan bergegas ke bilik mesyuarat meskipun dia pasti mesyuarat sudah berjalan lebih sejam. Zaqwan pula hanya mampu menggeleng kepala sebelum menelefon pejabatnya untuk memohon cuti setengah hari. Semuanya gara-gara si isteri tercinta. Sejak bangku sekolah lagi dia selalu menjadi mangsa kecuaian Uyin. Malah dia sudah terbiasa dimarahi guru disiplin kerana terpaksa menemani Uyin yang lewat bangun untuk ke sekolah. Siapa sangka, persahabatan yang terjaga rapi selama ini berakhir di jinjang pelamin.
Zaqwan memandu perlahan untuk ke Bangsar. Dia malas mahu tergesa-gesa setelah mendapat cuti separuh hari. Fikirannya mula merancang mahu bersarapan dahulu di Lucky Garden sebelum ke pejabat. Harap-harap mudahlah dia mendapat parking memandangkan waktu sebegini ramai yang mahu sarapan sepertinya. Setelah bersarapan pagi, dia langsung memandu ke Bangsar Village sekadar mahu mencuci mata sementara menunggu habis waktu makan tengah hari, barulah dia akan ke pejabatnya di Menara UOA.
Seketika dia leka melihat rantai tangan Charms di Pandora sambil berkira-kira mahu dihadiahkan untuk Uyin sempena kejayaan pamerannya baru-baru ini. Terlalu banyak pilihan sehingga dia sendiri sebagai lelaki rambang mata. Mujur ada jurujual yang sangat peramah dan memberikan panduan untuk dia memilih Charms yang sesuai untuk Uyin. Dia tahu Uyin tidak gemarkan perhiasan emas, jadi perhiasan di Pandora memang sangat sesuai dengan citarasa isterinya itu. Setelah berpuas hati, dia membuat pembayaran dan meminta jurujual itu membalut hadiah yang bakal diberikan kepada Uyin itu nanti.
"Miqael, is that you? Hey, I'm Tika! Remember me?" Tiba-tiba Zaqwan disapa seorang wanita tinggi lampai serta berambut perang. Penat otaknya mencari jawapan siapa gerangan wanita di hadapannya ini.
"Saudari siapa? Macam mana boleh tahu nama saya?" Seingat Zaqwan, Miqael hanyalah panggilan oleh rakan-rakannya ketika menuntut di Intec. Jadi, siapa wanita ini?
"Hey, ini Tika. I'm your classmate masa kita di Intec. Remember me now? The one with bracers and thick hairs. You all panggil I Ugly Betty!"
"Oh you Betty! What a surprise? Macam mana you.. I mean, from ugly duckling transforms into this?" Zaqwan masih tidak percaya. Rakan sekelasnya ketika belajar di Intec lima tahun dahulu yang selalu berkaca mata dengan bingkai tebal warna hitam dan cakap bersembur dek kerana bracers yang berserabut dalam mulut boleh berubah wajah menjadi sebegini cantik.
"You tak berubah. Still panggil I Betty! Jahatnya. Hey, dah lima tahun, of course I've changed a lot. Well, not so much but yes better than last time." Tika ketawa mengenangkan Zaqwan yang masih terkejut melihat perubahan dirinya. Hatinya tak keruan kini. Zaqwan langsung tak berubah. Masih tampan dan bertambah segak.
"So, how are you? Dah kahwin I guess. Apa you buat sekarang?" Memang Zaqwan terkedu melihat perubahan Tika. Walaupun lima tahun bukan tempoh yang sekejap namun dia tidak menyangka mereka ditemukan dengan perubahan yang drastik.
"Wo, relax! Firstly, I macam you tengoklah, sihat. I kerja di Greenbuildingindex dan no, I'm not married just yet. But I'm engaged already. How about you? You look great. I'm so happy to see you!"
"Tahniah anyway. Kita sebumbung lah. I work at UOA building too. Pelik kita tak pernah bertembung kat sana tapi kat Bangsar Village ni pulak kan?! I dah kahwin for almost a year. You buat apa kat sini? Ponteng kerja macam I ke?"
"Wah,tahniah juga to you! Yalah, kita kerja sebumbung tapi jumpa kat sini. I ada appointment dengan my ex-boss. Dia minta guide nak apply GBI for his projects. You ponteng kenapa? Hobi ke? Setahu I you dulu masa kat Intec nerd jek. Sekarang baru tunjuk belang ya?" Perbualan itu diteruskan di kafe Starbucks. Kedua-dua mereka memesan Fresh Brew Coffee dan meneruskan perbualan.
"My wife's car buat hal this morning, so I have to send her to the office since she's got an early meeting. Jalan kat KL ni you tahu sajalah, mana sempat I nak patah balik ke sini on time so I minta half day."
"Untunglah your wife dapat suami mithali. You still contact dengan our friends in Intec? I lepas habis Intec and fly ke Scotland terus lost contact dengan them all."
"Farok dengan Frida saja, sebab I fly dengan diorang ke Jepun. They are married pun. Kawan-kawan lain belum sempat jumpa, just contact them through Facebook. Yelah, masing-masing dah sibuk dengan their own lives. You bila nak kahwin? Tunang lama-lama bahaya." Sengaja Zaqwan menyakat Tika. Tika hanya pura-pura mengacau kopi dengan straw.
"Farok and Frida? Married? Bukan diorang selalu gaduh ke time kat Intec. Even masa last day exam pun diorang gaduh just because Farok lupa tandakan attendance Frida untuk paper tu. Jodoh tu pelik kadang-kadang, but beautiful ending for them. I'm happy for them!" Zaqwan rasakan Tika seolah-olah ingin berahsia mengenai tunangannya. Mungkin sahaja dia belum selesa berbual mengenai perkara peribadi sebegitu, telah hatinya.
"Eh, dah lama sangat kita berborak. I kena masuk office dulu. By the way, this is my card. Maybe next time boleh sambung lagi our conversation." Zaqwan menghulurkan kad namanya kepada Tika. Tika turut memberinya kad. Zaqwan bergegas ke pejabatnya setelah berjanji untuk mengatur pertemuan yang lebih selesa.

Saturday, December 8, 2012

4

Pameran model tanah liat mendapat sambutan yang memberangsangkan. Ramai peminat yang datang dari serata dunia memuji model-model hasil ciptaan Uyin. Walaupun masih bertatih dalam dunia seni tanah liat, Uyin berjaya menarik minat ramai untuk mengenal keistimewaan setiap rekaan modelnya. Uyin masih belum berpuas hati malah bertekad untuk terus berusaha sehingga dia berjaya membuat pameran solonya sendiri suatu hari nanti. Dia gembira dan bersyukur kerana mendapat sokongan keluarga terutama suaminya, Zaqwan yang begitu setia membakar semangatnya selama ini.
"Uyin happy tak? Miq bangga sangat dengan isteri Miq. Kalah wanita besi tau." Uyin hanya tersenyum dan memandang lepas ke arah pemandangan indah di hadapannya. Hari ini genap seminggu dia menamatkan pameran tanah liat terbesar di Malaysia. 
"Miq rasa, minat Uyin ni boleh pergi jauh ke? Uyin rasa tak yakinla, lagipun orang kita mana tahu nak hargai seni tanah liat. " Sengaja Uyin mengacah Zaqwan. Masakan dia sesenang itu mahu menyerah kalah. Dia mahu mengukur sejauh mana sokongan suaminya itu terhadap minatnya.
"Miq bukan mahu cakap besarlah Uyin, tapi kalau setakat teko teh Zisha yang terkenal tu, isteri Miq lagi hebat tau ciptaan dia." Bukan main lagi Zaqwan mendabik dada memuji Uyin. Uyin hanya mampu tersengih sebelum mengejar Zaqwan yang makin jauh berlari di gigi air. Setiap bulan, mereka akan cuba meluangkan masa berdua menikmati keindahan matahari terbenam di Pantai Morib. Mungkin kedengaran biasa bagi sesetengah orang, bagi mereka pantai itu banyak menyimpan nostalgia dalam perhubungan mereka.
Selesai menunaikan solat Maghrib di surau berdekatan, mereka beransur pulang ke kediaman mereka yang terletak di Setia Alam. Rumah teres dua tingkat yang terletak berhampiran Setia City Mall itu merupakan hadiah perkahwinan daripada kedua keluarga Zaqwan dan Uyin. Hubungan kekeluargaan yang sememangnya sudah lama terjalin erat itu diteruskan selengkapnya oleh mereka berdua.  Uyin sebetulnya teragak-agak untuk menerima hadiah sebegitu besar nilainya namun setelah dipaksa ummi, dia mengalah demi menjaga hati tua itu. Dia anggapkan sahaja Zaqwan yang menerima hadiah itu, maklumlah Zaqwan itu anak manja ummi yang memang suka segala hadiah pemberian umminya.


Wednesday, November 28, 2012

3

"Saya Nurindania, panggil saja Uyin. Awak Miq kan? Nama betul atau nama glamor?" Santai sahaja Uyin menyoal Zaqwan yang waktu itu sedang enak menikmati nasi lemak kegemarannya.
"Saya Miqaelzaqwan, semua mesti panggil Miq sebab umi kata Miq tu macam mat saleh sikit." Sambal memenuhi 2 ulas bibir mungil Zaqwan. Uyin hanya melepaskan tawa dinasournya. Suka sangat bila dapat mengusik Zaqwan yang kuat makan serta manja dengan uminya itu. 
 "Uyin suka tengok Miq makan. Macam Uyin boleh kenyang sama tau. Lagipun bonda tak suka Uyin selalu makan nasi lemak sebab Uyin takut gemuk. Kata kakak cantik kat Isetan, kalau gemuk susah mahu dapat boyfriend. Tapi Miq lelaki, kalau gemuk, perempuan suke juga sebab boleh peluk macam bebear!" Seloroh Uyin tanpa memperdulikan Miq yang sudah meliar matanya mencari uminya. Dia harus mengadu dengan umi tentang Uyin yang suka mengusiknya.
"Uyin, ada nampak umi Miq tak? Dia cantik dan pakai baju kebaya hijau biru. Umi Miq cantik macam Uyin, cuma Uyin kecil lagi. Kalau Uyin besar macam umi, kita kawen tau! Umi kata, kalau Miq besar macam umi dan babah, Miq boleh kawen cepat-cepat. Sebab tu Miq makan banyak-banyak, sebab Miq nak cepat besar dan boleh kawen dengan Uyin." Sengih Zaqwan melebar. Uyin cukup menyampah dengan kata-kata Zaqwan. Kali ini dia pula dimalukan. Lantas dia segera berlari mendapatkan bondanya di dapur.
Umi dan bonda merupakan sahabat karib semenjak mereka sama-sama menuntut di universiti. Hubungan yang terbina sekian lama dipanjangkan sehingga anak-anak lahir dan melangkah remaja. Uyin dan Zaqwan turut bersahabat baik walaupun ada kalanya bercakaran dek perkara remeh. Masing-masing terlalu akrab sehingga persoalan kahwin tidak diambil serius, apatah lagi keduanya amat taat dengan ibu mereka.
"Umi, boleh tak Miq kawen dengan Uyin bila Miq besar macam Umi? Miq suke Uyin la Umi." Anak kecil itu tanpa segan memohon izin uminya tanpa dia sendiri faham tentang erti sebuah perkahwinan. Namun jiwa uminya tetap tersentuh dan bangga kerana anaknya sudah tahu mengenal erti sayang dan yang pasti, dia akan sentiasa mendoakan kebahagian anaknya kelak.
"Miq boleh kawen dengan Uyin, tapi Miq kena janji dengan Umi yang Miq tak boleh sakiti hati Uyin dan Miq mesti jadi anak yang bijak dan berjaya!" Tegas uminya namun tetap sarat dengan pesanan tulus buat si anak. Dia yakin anaknya itu makin mengerti maksud setiap kata-katanya.

[part three]


Monday, November 26, 2012

2

Wajah di hadapannya ditatap kejap. Ada rasa cinta dan rajuk bercampur. Uyin segera berkalih duduk, cuba untuk merapatkan badannya dengan Zaqwan, suaminya. Setelah 3 bulan berkahwin, Zaqwan sudah pandai merajuk dengannya. Semuanya gara-gara Uyin terlepas kata menyindir hobi Zaqwan yang satu itu, iaitu mengumpul figura anime. Minatnya mengumpul figura itu menyebabkan Uyin terpaksa mengorbankan satu bilik di rumah kelamin mereka berdua semata-mata untuk menyimpan koleksi figura milik Zaqwan yang tak terkira banyaknya itu.
"Uyin minta maaf sayang. Uyin tak patut perlekehkan minat sayang tapi, Uyin perlukan bilik tu sekarang untuk dijadikan studio. Lagipun pameran tu lagi 2 bulan." Zaqwan faham situasi isterinya namun dia sudah buntu memikirkan ke mana harus dia alihkan ribuan figura kesayangannya nanti. Kalau mahu ditempatkan di rumah keluarganya, dia khuatir anak-anak buahnya yang semakin lasak seramai 3 orang itu akan rosakkan. Digeleng kepalanya apabila memikirkan potensi kerosakan serius jika dia tempatkan juga koleksinya di rumah keluarganya.
"Kenapa Uyin taknak jadikan bilik bacaan tu sahaja sebagai studio? Lagipun kita jarang gunakan bilik bacaan kan sayang? Tolonglah, Uyin tahu kan risiko untuk biarkan figura tu semua di rumah umi. Gadaffi, Khaliq dan Fariha pasti patah-patahkan Kent dan kawan-kawannya. Bukan murah Miq beli semua figura tu. Siap ikat perut masa zaman belajar kat Jepun dulu tau!" Zaqwan masih mahu mempertahankan bilik khas figuranya. Tanpa dia sedari Uyin sudah mula menitiskan air mata.
 "Baiklah, Uyin akan sewa apartment berhampiran pejabat Uyin nanti untuk jadikan studio. Untuk 2 bulan nanti Uyin akan tinggal di sana untuk siapkan model-model pameran Uyin. Uyin rasa Miq setuju kan? Baiklah, Uyin nak mandi dulu. Nanti Uyin siapkan makan malam." Uyin mengatur langkah meninggalkan Zaqwan yang termangu mendengarkan kata-kata isterinya. Marahkah Uyin padanya? Atau Uyin serius mahu melaksanakan tugasannya sehingga tidak mahu sebarang gangguan.
Uyin berkhidmat sebagai Pegawai Perhubungan Antarabangsa di salah sebuah syarikat gergasi di ibu kota. namun kerana minatnya kepada seni tanah liat membuatkannya gigih memberi tumpuan kepada kedua-dua minat dan kerjayanya. Sebagai suami serta rakan karib Uyin, Zaqwan amat memahami sikap serius Uyin ketika bekerja dan ketika membuat model tanah liatnya. Berkat usaha Uyin selama 2 tahun mendalami seni tanah liat di Scotland ketika dia melanjutkan pelajaran dahulu, dia berjaya menempa nama sebagai artis yang disegani rakan sealirannya. Walau usianya yang masih terlalu muda jika dibandingkan artis-artis sealirannya yang jauh lebih veteran dan berpengalaman, dia cepat mengadaptasi setiap perubahan persekitarannya untuk diterjemahkan dalam model tanah liatnya. Hasilnya setelah setahun setengah menceburkan diri secara serius dalam bidang seni tanah liat itu, dia sudah boleh turut serta dalam pameran Seni Tanah Liat Antarabangsa bersama barisan artis senior yang banyak menempa nama terlebih dahulu.
Peluang yang ada tidak pernah disia-siakannya. Setiap waktu dihabiskan untuk menghasilkan model yang lebih baik. Sehingga kadang-kadang Zaqwan merasa tersisih. Namun Uyin selalu bijak memujuknya jika dia kelapangan. Hubungan mereka tidak seperti suami isteri lain. Mereka terus mengekalkan persahabatan mereka sehingga seringkali keluarga kedua belah pihak menegur sikap mereka yang sambil lewa. Umi Zaqwan, Datin Yasmin acapkali bertanyakan soal cucu daripada Uyin dan Zaqwan. Mereka kerap berdalih mengatakan mereka masih muda dan belum bersedia. Hampa sekali ibu tua itu apabila anak menantu menidakkan kehendaknya.
Zaqwan yang bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat perkapalan sering meninggalkan Uyin keseorangan dalam melaksanakan tuntutan tugasnya. Namun dek kerana sudah terbiasa sejak berkawan lagi, Uyin tidak ambil kisah. Yang penting suaminya sihat,selamat dan seronok dengan kerjayanya serta menyokong minat Uyin. Mereka seakan lupa soal anak atau perhubungan mereka yang sewajarnya lebih romantis dan intim.

[part two]


Sunday, November 25, 2012

1

Uyin masih selesa bermalasan di atas sofa. Matanya ralit membilang bait surat yang diterimanya sejak sebulan lalu. Sengaja dia membiarkan pertanyaan bondanya terbalas dengan gelengan. Puan Kamalia hanya mampu mengeluh dan bingkas bangun menuju pintu hadapan rumahnya. Hatinya masih walang apabila mengingatkan sikap Uyin akhir-akhir ini. Anak gadis tunggalnya itu seolah-olah berada dalam dunianya sendiri. Sejak Uyin menerima surat itu sebulan yang lalu, dia kerap berkurung dan jarang sekali mahu bersua muka dengan sesiapapun. Hati ibu itu tetap tersentuh kerana merasakan dirinya tidak mampu mengubati jiwa anaknya saat ini.
"Bonda tahu Uyin risaukan bonda keseorangan. Tapi ini sahaja jalan terbaik untuk masa depan Uyin dan mungkin untuk kita kelak. Kita tidak boleh menolak rezeki dan kelebihan yang Allah telah kurniakan. Lagipun Uyin anak bonda yang baik. Bonda doakan semua yang terbaik untuk Uyin di sana." Dia masih gigih memujuk si anak untuk menerima tawaran belajar ke Scotland. Dia tahu anaknya tidak pernah berpisah dengannya sejak suaminya, Encik Zulhairi meninggal 7 tahun lalu. 
"Tidak lama Uyin di sana, hanya 2 tahun. Selepas Uyin dapat ijazah, bonda pasti ke sana untuk konvokesyen Uyin. Lagipun kita sudah bincang soal ini setahun lalu. Uyin sudah lupakah?" Uyin mengikuti program berkembar universitinya dengan salah sebuah universiti di Scotland. Pengajiannya hanya akan tamat setelah Uyin menyambung 2 tahun pengajian di Scotland selepas setahun pengajian di Malaysia. Disebabkan bidang yang ditawarkan hanya boleh diperolehi di universiti tersebut, Uyin nekad pada mulanya. Dia tidak menyangka begitu berat mahu melaksanakannya bila sudah tiba masa begini.
"Uyin takut. Bonda seorang tinggal di Malaysia. Lagipun kita bukannya ada sesiapa lagi. Kawan-kawan bonda juga jauh. Kita pun baru pindah ke sini. Jiran-jiran sekarang lain bonda. Sibuk dengan masalah sendiri. Siapa ada untuk bonda kalau bonda perlukan bantuan." Uyin tetap mencari dalih untuk mengelak dipaksa ke Scotland. Dia pasti bonda sudah tekad dengan saranannya namun tidak salah kalau dia cuba memancing simpati bonda buat sekian kalinya.
"Uyin, sudah lupakah bonda punya bakal menantu yang boleh bonda harapkan? Zaqwan selalu ke sini jenguk bonda. Lagipun uminya selalu temankan bonda ke surau setiap hujung minggu. Siapa kata kita sendiri sahaja?" Uyin menghela nafas berat. Dia tahu setiap alasannya akan ditolak bonda. Bonda memang begitu berharap dia dapat menamatkan ijazahnya sebelum bergelar isteri orang. Dia juga ingin menggengam segulung ijazah seperti janjinya dengan bonda serta arwah ayahandanya. Mengingatkan ayahandanya membuatkan air matanya terus setia menyapa pipinya. Dia masih merasakan hatinya masih sarat dengan rindu dan sayang buat arwah, namun dia tetap akur, cinta Pencipta tetap paling utama buat ayahanda. Tidak pernah dia lupa menitipkan doa buat ayahanda setiap usai solat. Bonda sentiasa memahami jiwanya dan tidak lupa menenangkannya tiap kali dia berasa sunyi.

"Bonda yakin Uyin mampu? Uyin rasa Uyin masih perlukan bimbingan dan nasihat bonda. Bagaimana Uyin nak bersendirian di sana nanti tanpa bonda?"
"Uyin, bonda sentiasa doakan Uyin tidak akan lalai dan lupakan perintah Allah. Bila Uyin tidak alpa, Allah juga akan selalu lindungi Uyin. Uyin takkan kesunyian sayang." Terasa sejuk hati Uyin mendengar kata bonda. Dia segera beristighfar apabila mengenangkan keterlanjuran kata-katanya seolah-olah dia begitu perlukan manusia lain sedangkan Allah sentiasa bersamanya. Bonda mengusap lembut kepala Uyin. Begitu pantas masa berlalu. Terasa baru semalam dia melahirkan Uyin walhal anaknya kini sudah dewasa dan bergelar tunangan orang.

[part one]



 

Template by BloggerCandy.com