Aku selalu fikir, orang lain selalu tak adil pada aku. Orang lain selalu ambil kesempatan ke atas kelemahan aku menolak permintaan orang! Aku selalu menyalahkan keadaan sekeliling yang menyebabkan aku membiarkan semua tu berlaku walhal banyak perkara yang tersemat di sebalik semua itu. Aku seorang yang suka bercakap, happy go lucky, easy going, open minded dan tidak suka menilai sesiapa. Aku menerima sesiapa sahaja sebagai kawan dan takut kesunyian tanpa kawan. Kadang-kadang aku serius dan mengelak untuk senyum dan cuba berlagak sombong sebaik mungkin [memang fail!]. Aku cepat marah dan aku cepat cool serta senang memaafkan. Tapi.... aku sukar melupakan!
Setiap kenangan yang manis dan pahit tersimpan kemas dalam lipatan ingatan aku. Aku bukan berdendam jauh sekali mahu membalas semula perbuatan orang yang tak sepatutnya pada aku, tapi aku memang orang yang amat sukar melupakan. Aku bijak bermanis muka tapi kenyataannya aku susah hipokrit dalam menunjukkan riak muka bila berdepan dengan orang yang aku berimpresi buruk dengannya. Riak muka benci, menyampah, semuanya tersemat kukuh serta merta di wajahku tanpa bisa aku menukarkannya dengan riak pura-pura suka dan sewajarnya. Tapi kadang-kadang aku hipokrit juga demi orang yang aku sayang dan cinta. Memang aku akui sakit di hati ni Allah sahaja yang tahu, tapi aku gagahkan untuk senyum paling manis walaupun dada seakan mahu pecah dan mahu menangis kerana terlalu menahan rasa.
Aku terlalu fragile. Aku berusaha tampil meyakinkan untuk memastikan sesiapa bersamaku turut berasa yakin. Aku sebolehnya menyembunyikan rasa ragu-ragu malah adakala aku cuba bergembira walhal aku sedang sedih,risau dan berdebar-debar. Aku makan dengan penuh lahapnya seolah-olah makanan terhidang itu cukup lazat walhal kadang-kadang langsung tak mampu diterima tekakku. Tapi hakikatnya aku redha dan terus habiskan sahaj untuk menjaga hati banyak pihak serta menggoda kawan-kawan untuk menjamah makanan itu. Aku terlalu fikir [mengutamakan ]tentang orang lain melebihi diriku! Kata suamiku. Dia pula yang sakit hati dengan kelurusan aku. Memang aku orangnya nampak agresif, cekal dan hati kering namun hakikatnya aku pasif, mudah putus asa dan sensitif yang amat. Semua yang aku tonjolkan hanyalah topeng untuk menutup kelemahan nyata millikku.
Aku suka melihat orang gembira. Tapi salahnya aku juga mengharapkan orang itu suka melihatku gembira. Benarlah kata orang bijaksana, menabur budi sewajarnya tanpa mengharap dibalas. Hati manusia tidak sama walaupun rambutnya sama hitam. Selagi namanya manusia maka seharusnya kita mengerti kehendak ternyata berbeda. Kita tidak perlu rasa cepat berpuas hati dan harus selalu berjaga-jaga. Meletakkan kepercayaan pada satu-satu insan juga harus selalu waspada. Bahananya menjengah jika silap caturan, Hidup juga tidak akan selalu indah mendamaikan, sesekali ada badai melanda dan kita perlu lengkapi dengan persediaan malah cuba bertahan.
Usia yang bakal bertambah dengan beban tugas hidup yang sentiasa bertambah sepatutnya aku jadikan satu cabaran untuk aku teguh harungi dengan semangat yang tinggi. Aku tahu aku ada si dia di sisi dan hendaknya aku tidak mudah menyerah kalah. Aku mahu berhenti mengharapkan keajaiban alam untuk mengecapi kebahagian yang aku impikan. Mungkin itu bukan yang sesuai untuk aku maka allah jauhkan daripadaku. Mungkin ada kebahagian yang selayaknya kelak untukku, itu aku yakini. In Sha Allah. Doakan aku ya teman-teman! Aku mungkin bukan teman yang terbaik tapi aku adalah aku, manusia biasa yang sentiasa mahu belajar melengkapi hidup kalian.
Dalam menghitung hari panambahan usiaku ini, aku ingin memohon ampun maaf kepada semua yang mengenaliku atau yang tidak atas segala kekhilafanku yang aku sedar mahupun tidak serta aku doakan hanya yang terbaik untuk kita selamanya. Haruslah semua ingat, aku cuma insan biasa tanpa kelebihan nyata, yang akan sentiasa membuat silap salah dan aku tidak pernah sengaja menyakiti sesiapa apatah lagi mahu menghukum sesama manusia. Aku sedar kita takkan mampu dimaafkan selagi kita tidak belajar memaafkan orang lain. Untuk itu, aku juga memaafkan sesiapa sahaja yang bersalah secara sedar atau tidak kepadaku dan aku berdoa, mereka juga memaafkanku dengan izin Allah SWT. In Sha Allah.
0 comments:
Post a Comment