"Diya, kalau umi aku tanya pasal aku esok, cakap je aku study group dengan kau ok?!" PJ buat muka tak bersalah sambil tangannya seperti memohon maaf dengan Diya. Diya tahu dia memang kalah kalau PJ yang minta tolong. PJ satu-satunya kawan karib yang selalu mempertahankan Diya jika dibuli kawan-kawan lelaki yang lain. Setakat 'tipu sunat' yang dipinta PJ itu, cukup mudah untuk Diya tunaikan.
"Tapi Diya risau lah, umi PJ kan cikgu BM kelas Diya, lagipun Diya tak pernah cakap bohong dengan cikgu-cikgu kita. Berdosa la PJ. PJ nak pergi mana sampai perlu Diya tipu Cikgu Roslina ni?" PJ hanya tersengih nakal dan bingkas bangun membawa beg sekolah dan jari telunjuknya diletak ke mulut. Diya hanya mampu mengeluh dan menggelengkan kepalanya. Pening memikirkan alasan apa lagi nak direkanya kali ini untuk PJ.
Sedang Diya asyik menyiapkan latihan Matematik yang diberi Cikgu Jihan, dia disapa Darius, pelajar senior tingkatan 5.
"Nama siapa? Saya Darius. Saya selalu lambai tangan waktu awak dalam kelas tu." Darius cuba menahan debarnya dan berusaha mengawal bicaranya dengan gadis yang sudah lama diintai dari kejauhan. Entah mengapa kali ini dia nekad mahu menegur gadis ini. Berjaya juga dia mengawal bicaranya daripada tergagap.
"Abang Darius ya? Oh, maaf saya lupa. Saya ingat abang saja kacau-kacau kami dalam kelas. Saya Diya. Maaflah, Diya minta diri dulu. Kakak Diya dah sampai." Diya cuba memberi alasan untuk beredar dari kelas dan berterusan melayan Darius. Dia tidak betah berdua-duaan dengan lelaki yang belum pernah dikenalinya itu.
"Tapi, kita boleh berkawan kan Diya? Lagipun saya dah nak habis belajar. Tak banyak masa nak berbual dengan Diya nanti. Esok kita jumpa depan perpustakaan ya lepas waktu rehat. Sekejap pun tak apa." Darius masih beria mahu mencari peluang mendekati Diya. Dia hampir kecewa melihat reaksi Diya yang acuh tak acuh namun demi perasaannya, dia nekad mahu mencuba nasibnya. It's now or never.
"Baiklah, Diya cuba tapi tak mahu janji apa-apa ok. Assalamualaikum." Diya pantas mengemas buku-buku laithannya dan melangkah keluar dari kelasnya. Darius hanya memandang dengan perasaan berbaur kecewa dan penuh harapan. Doanya dalam hati agar esok gadis pujaan hatinya itu akan memenuhi permintaannya.
Ketika Diya melangkah keluar kelas, dia ternampak kelibat PJ sedang berbual penuh dengan gelak ketawa dengan senior tingkatan 4, Yuhana. Diya pernah sekelas dengan adik Yuhana, Fira ketika mereka di sekolah rendah. PJ tampak gembira dan wajahnya berseri sepanjang perbualannya dengan Yuhana. Malam ini Diya akan korek rahsia PJ yang satu itu. Diya tersengih sendiri sambil menapak ke ruang perhimpunan sekolah untuk menunggu kakaknya, Juwita.
--------------------
"Diya, siapa lelaki yang berborak dengan kau petang tadi. Kau tak pernah bagi tahu pun kau ada kawan dengan senior kita? Selain abang aku Rais, rasanya kau ada aku sahaja as kawan lelaki kau kan?!" Suara PJ didengarnya agak lantang. Penat otaknya menafsir gaya percakapan PJ malam itu.
"Oh, Abang Darius. Kelas dia bertentangan dengan kelas Diya, tapi kelasnya tingkat dua. Dia nak jumpa Diya esok depan library. Tak pasti pula Diya kenapa. Tapi dia macam serius nak berkawan. Entahlah." Diya menjawab senada.
"Nak aku temankan ke esok? Kau nak berkawan dengan dia? Nanti aku tanya Rais kalau dia kenal si Darius tu. Abang kau panggil dia? Rais pun kau tak panggil Abang. Aku pun kau tak panggil abang even aku tua 5 bulan daripada kau." PJ menempelak Diya. Entah kenapa malam itu PJ rasa geram bila mengingatkan kelibat Darius bercakap dengan Diya. Lebih menyakitkan hatinya, Diya memanggil lelaki asing itu 'Abang'.
"Tak perlu kot. Diya bukannya nak jumpa dia pun. Tak janji pun tadi, mungkin jadi atau tak." Diya malas memikirkan apa-apa malam tu.
"Diya tengok kau dengan Kak Yuhana bukan main mesra tadi. Ceritalah sikit dengan aku. Itu kekasih kau ke?" Diya terdengar PJ terbatuk mendengar soalannya. Dia tersenyum dan PJ takkan dapat tahu dia sedang memerangkap PJ dengan soalan itu.
"Oh, bijak kau Diya. Aku tanya kau pasal mamat tu, sekarang aku pulak kena. Tapi tak apa, aku boleh jawab soalan senang kau tu. Buat masa sekarang aku masih baru nak kenal Yuhana. Bagi aku dia manis, lemah lembut dan mungkin sesuai la jadi kekasih aku." Jawab PJ sambil tergelak miang. Diya rasa menyampah namun hanya mampu disimpan dalam hatinya sahaja.
"Tapi kau suka orang perempuan lagi tua dari kita? Ok ke?" Diya cuba menyenangkan hatinya sendiri. Entah mengapa dia rasa ada perasaan luar biasa bila mendengar penjelasan PJ tadi.
"Alah usia hanya angka. Aku bukan plan nak kahwin pun, nak kawan dulu kan. Apa salahnya kan?!"
"Oh, tak apalah, kita sambung borak esok ok sebelum perhimpunan. Aku mengantuk sangat ni. Assalamualaikum, selamat malam PJ!" Diya tak betah lagi mendengar kata-kata PJ tentang hubungan barunya dengan Yuhana. Helahnya menjadi bila PJ memberi janjinya untuk berjumpa esok pagi sahaja.
0 comments:
Post a Comment