[Bila aku perlukan pemerhati melebihi pendengar....]

Wednesday, December 26, 2012

9

Uyin masih berdiri di depan rak yang sama. Matanya melilau memandang sekeliling. Walaupun sudah hampir dua tahun menjadi isteri orang, dia tidak pernah membeli apa-apa produk daripada rak di hadapannya ini. Terdapat pelbagai jenama dan harga yang berbeza dengan kuantiti yang berlainan juga. Dia mula rasa  malu dan serba salah. Malu untuk selamba sahaja membeli satu produk itu dan serba salah kerana perasaan ingin kepastian mengalahkan rasa malu. Akhirnya dia nekad mencapai satu kotak dan terus berlalu menuju kaunter untuk membuat pembayaran. Uyin sahaja yang menggelabah walhal petugas kaunter tidak memberi sebarang reaksi pelik. Mungkin memang menjadi tugas mereka untuk memberi keselesaan kepada pelanggan farmasi terkenal itu.
Selesai membuat pembayaran, Uyin segera keluar dari farmasi itu. Dia melangkah menuju kedai kegemarannya setiap kali berkunjung ke Sunway Pyramid- Popular Bookstore. Dia mampu menghabiskan masa berjam-jam dalam kedai buku itu. Pernah sekali dia terlalu leka sehingga tidak sedar hari sudah lewat dan kedai sudah mahu tutup. Buku dan pelbagai alat tulis memang menjadi minatnya. Dia sudah biasa menggunakan beberapa ratus daripada gajinya setiap bulan hanya untuk membeli buku. Mujurlah suaminya amat memahami dan sudi menyediakan rak khas di bawah tangga hanya untuk buku-buku Uyin yang kini mencecah ratusan unit. Namun hari ini entah kenapa dek kerana berdebar yang melampau selepas keluar farmasi, minatnya untuk berlama di kedai buku tumpul. Dia tidak sabar mahu segera balik ke rumah dan memulakan misinya.
Sekadar sempat membeli tiga buah novel karya Kerrelyn Sparks, dia segera bergegas untuk pulang ke rumah. Dia perlu memastikan apa sahaja keputusan yang bakal diterimanya sebelum Zaqwan, suaminya pulang. Dia tidak mahu lebih panik jika suaminya sudah ada di rumah. Sebaik tiba di rumah, dia bergegas ke bilik mandi untuk melakukan ujikaji. Dia tahu dia tidak boleh terlalu berharap, tapi hati kecilnya memaksa. Selepas siap ujikaji, dia tidak menunggu sahaja di dalam bilik mandi sebaliknya terus keluar kerana terlalu berdebar. Dia mula berkira-kira sama ada mahu masuk dan melihat keputusan ujikaji atau hanya biarkan suaminya terjumpa keputusan itu - positif atau negatif.
Tidak lama selepas itu, suaminya pulang. Uyin semakin berdebar dan tidak keruan. Dia menuruni tangga dan menyalami suaminya. Dia bercadang mahu memujuk suaminya untuk makan malam di luar sahaja. Keinginan untuk memasak sudah hilang akibat debaran yang bakal diterima seketika nanti. Dia berharap suaminya tidak turut panik apabila melihat alat penguji kehamilan yang diletakkan di atas sinki dalam bilik mandi mereka. Uyin tahu Zaqwan amat berharap untuk menjadi bapa dalam tempoh terdekat sedangkan dia sendiri tidak pasti sama ada dia sudah bersedia atau tidak. 
"Kita makan luar nanti, ya? Uyin tak sempat masak. Miq mandi dululah." Dia memancing suaminya untuk mandi sementara dia bersiap untuk keluar. Perasaannya masih sama. Debaran makin memuncak. Dia sendiri tidak tahu bagaimana Zaqwan berdepan dengan situasi kali ini.
"Boleh saja, tapi Miq tak larat nak drive. Uyin tolong ya?" Zaqwan mencapai tuala dan segera masuk ke bilik mandi. Tidak lama selepas itu dia menjerit dari dalam bilik air dan segera bergegas keluar dan memeluk Uyin  yang terpinga-pinga. " Uyin sengaja suruh Miq mandi kan? Thank you sayang! Miq happy, Miq bersyukur. Kita akan jadi mummy dan daddy tak lama lagi!" Berkali-kali Zaqwan mencium pipi Uyin yang jelas masih terkejut dan bingung. Dia tidak bersedia menerima apa pun keputusan ujian tadi. Namun melihat reaksi Zaqwan, dia mulai yakin dan turut gembira. Syukur ya Allah! Bisik Uyin di dalam hati. 

0 comments:

 

Template by BloggerCandy.com