Tika menoleh ke sisi kanan katilnya. Hasif masih lena berserta dengkuran halus. Lelaki ini pernah menyelamatkannya suatu ketika dahulu. Lelaki ini juga yang meragut nilai kewanitaannya. Dia hanya tegar bertahan di samping Hasif kerana seteruk manapun layanannya, dia masih boleh memujuk Tika. Hasif memang kasar tapi Hasif juga pendengar yang hebat. Hasif tidak pandai berkata-kata manis, tapi dia boleh memahami perasaan wanita itu. Bukan salah Hasif seratus peratus dalam peristiwa di Scotland tiga tahun lepas. Tika turut merelakan perbuatan Hasif. Namun hatinya tetap mahu mengatakan Hasif yang menodainya.
Penat berkalih, Tika bangkit dan berjalan perlahan menuju meja solek di hadapan katil. Dirapikan rambut dan wajahnya sebelum berlalu keluar bilik. Tekaknya haus minta diisi minuman. Hujan masih lebat dan dia sendiri malas mahu ke mana-mana pagi hujung minggu ini. Mamanya, Puan Sri Budriah sering menelefonnya sejak akhir-akhir ni. Setiap kali panggilan pasti dengan usul yang sama, meminta Tika bekerja sahaja dengan papanya, Tan Sri Azman Don. Terlalu banyak dan lama dia memberi kebebasan kepada Tika sehingga anaknya semakin sukar menerima nasihat malah tidak menampakkan minat untuk pulang ke pangkuan keluarga menemaninya di rumah agam milik mereka di Kajang.
Hasif adalah tunangannya. Mereka sudah lima bulan tinggal bersama. Mamanya dan keluarga Hasif tahu tentang itu dan tidak pernah kisah kerana kehidupan mereka memang bebas dan kebaratan. Apa yang penting, mereka pandai menjaga nama keluarga serta bijak membawa diri. Paling dia suka, Hasif tidak pernah masuk campur mengenai kerjaya pilihannya malah Hasif sendiri yang sarankan dia bekerja di tempat kerjanya sekarang. Ketuanya, Josiah adalah saudara jauh Hasif. Hasif merupakan jejaka kacukan Australia dan Melayu Serani.
Tunangnya itu mempunyai rangkaian restoran eksklusif di sekitar Kuala Lumpur. Mereka mula berkenalan ketika Tika menuntut tahun pertama di University of Strathclyde, Scotland. Hasif ketika itu sedang mencari peluang perniagaan di kota Edinburgh. Perkenalan singkat di sebuah restoran ketika cuti musim panas itu membuahkan bibit-bibit asmara kedua mereka. Mereka kemudiannya menjalin cinta dan hidup bebas di sana sehingga Tika tamat pengajian. Sekembalinya mereka ke Malaysia, mereka mengikat tali pertunangan sekadar memenuhi permintaan kedua keluarga yang kononnya mahu menutup mata saudara mara.Seminggu selepas pertemuan semula Tika dan Zaqwan, timbul rasa rindu Tika pada Zaqwan. Sejak mereka belajar di Intec dia menyimpan perasaan terhadap Zaqwan, tapi mengenangkan rupanya ketika itu tidak semenggah disimpan perasaannya. Perasaan itu tidak sama ketika bersama Hasif. Perasaan itu sukar dinilai dan terlalu kemas tersimpan. Sikap Zaqwan yang merendah diri serta tidak kedekut ilmu menjentik tangkai hatinya. Dia jatuh cinta kali kedua kah? Tapi Zaqwan sudah beristeri dan dia sudah ada Hasif. Walaupun Hasif belum melamarnya untuk berkahwin, tapi dia tetap terikat dengan Hasif.
0 comments:
Post a Comment