Uyin masih selesa bermalasan di atas sofa. Matanya ralit membilang bait surat yang diterimanya sejak sebulan lalu. Sengaja dia membiarkan pertanyaan bondanya terbalas dengan gelengan. Puan Kamalia hanya mampu mengeluh dan bingkas bangun menuju pintu hadapan rumahnya. Hatinya masih walang apabila mengingatkan sikap Uyin akhir-akhir ini. Anak gadis tunggalnya itu seolah-olah berada dalam dunianya sendiri. Sejak Uyin menerima surat itu sebulan yang lalu, dia kerap berkurung dan jarang sekali mahu bersua muka dengan sesiapapun. Hati ibu itu tetap tersentuh kerana merasakan dirinya tidak mampu mengubati jiwa anaknya saat ini.
"Bonda tahu Uyin risaukan bonda keseorangan. Tapi ini sahaja jalan terbaik untuk masa depan Uyin dan mungkin untuk kita kelak. Kita tidak boleh menolak rezeki dan kelebihan yang Allah telah kurniakan. Lagipun Uyin anak bonda yang baik. Bonda doakan semua yang terbaik untuk Uyin di sana." Dia masih gigih memujuk si anak untuk menerima tawaran belajar ke Scotland. Dia tahu anaknya tidak pernah berpisah dengannya sejak suaminya, Encik Zulhairi meninggal 7 tahun lalu.
"Tidak lama Uyin di sana, hanya 2 tahun. Selepas Uyin dapat ijazah, bonda pasti ke sana untuk konvokesyen Uyin. Lagipun kita sudah bincang soal ini setahun lalu. Uyin sudah lupakah?" Uyin mengikuti program berkembar universitinya dengan salah sebuah universiti di Scotland. Pengajiannya hanya akan tamat setelah Uyin menyambung 2 tahun pengajian di Scotland selepas setahun pengajian di Malaysia. Disebabkan bidang yang ditawarkan hanya boleh diperolehi di universiti tersebut, Uyin nekad pada mulanya. Dia tidak menyangka begitu berat mahu melaksanakannya bila sudah tiba masa begini.
"Uyin takut. Bonda seorang tinggal di Malaysia. Lagipun kita bukannya ada sesiapa lagi. Kawan-kawan bonda juga jauh. Kita pun baru pindah ke sini. Jiran-jiran sekarang lain bonda. Sibuk dengan masalah sendiri. Siapa ada untuk bonda kalau bonda perlukan bantuan." Uyin tetap mencari dalih untuk mengelak dipaksa ke Scotland. Dia pasti bonda sudah tekad dengan saranannya namun tidak salah kalau dia cuba memancing simpati bonda buat sekian kalinya.
"Uyin, sudah lupakah bonda punya bakal menantu yang boleh bonda harapkan? Zaqwan selalu ke sini jenguk bonda. Lagipun uminya selalu temankan bonda ke surau setiap hujung minggu. Siapa kata kita sendiri sahaja?" Uyin menghela nafas berat. Dia tahu setiap alasannya akan ditolak bonda. Bonda memang begitu berharap dia dapat menamatkan ijazahnya sebelum bergelar isteri orang. Dia juga ingin menggengam segulung ijazah seperti janjinya dengan bonda serta arwah ayahandanya. Mengingatkan ayahandanya membuatkan air matanya terus setia menyapa pipinya. Dia masih merasakan hatinya masih sarat dengan rindu dan sayang buat arwah, namun dia tetap akur, cinta Pencipta tetap paling utama buat ayahanda. Tidak pernah dia lupa menitipkan doa buat ayahanda setiap usai solat. Bonda sentiasa memahami jiwanya dan tidak lupa menenangkannya tiap kali dia berasa sunyi.
"Bonda yakin Uyin mampu? Uyin rasa Uyin masih perlukan bimbingan dan nasihat bonda. Bagaimana Uyin nak bersendirian di sana nanti tanpa bonda?"
"Uyin, bonda sentiasa doakan Uyin tidak akan lalai dan lupakan perintah Allah. Bila Uyin tidak alpa, Allah juga akan selalu lindungi Uyin. Uyin takkan kesunyian sayang." Terasa sejuk hati Uyin mendengar kata bonda. Dia segera beristighfar apabila mengenangkan keterlanjuran kata-katanya seolah-olah dia begitu perlukan manusia lain sedangkan Allah sentiasa bersamanya. Bonda mengusap lembut kepala Uyin. Begitu pantas masa berlalu. Terasa baru semalam dia melahirkan Uyin walhal anaknya kini sudah dewasa dan bergelar tunangan orang.
[part one]
0 comments:
Post a Comment