[Bila aku perlukan pemerhati melebihi pendengar....]

Monday, November 26, 2012

2

Wajah di hadapannya ditatap kejap. Ada rasa cinta dan rajuk bercampur. Uyin segera berkalih duduk, cuba untuk merapatkan badannya dengan Zaqwan, suaminya. Setelah 3 bulan berkahwin, Zaqwan sudah pandai merajuk dengannya. Semuanya gara-gara Uyin terlepas kata menyindir hobi Zaqwan yang satu itu, iaitu mengumpul figura anime. Minatnya mengumpul figura itu menyebabkan Uyin terpaksa mengorbankan satu bilik di rumah kelamin mereka berdua semata-mata untuk menyimpan koleksi figura milik Zaqwan yang tak terkira banyaknya itu.
"Uyin minta maaf sayang. Uyin tak patut perlekehkan minat sayang tapi, Uyin perlukan bilik tu sekarang untuk dijadikan studio. Lagipun pameran tu lagi 2 bulan." Zaqwan faham situasi isterinya namun dia sudah buntu memikirkan ke mana harus dia alihkan ribuan figura kesayangannya nanti. Kalau mahu ditempatkan di rumah keluarganya, dia khuatir anak-anak buahnya yang semakin lasak seramai 3 orang itu akan rosakkan. Digeleng kepalanya apabila memikirkan potensi kerosakan serius jika dia tempatkan juga koleksinya di rumah keluarganya.
"Kenapa Uyin taknak jadikan bilik bacaan tu sahaja sebagai studio? Lagipun kita jarang gunakan bilik bacaan kan sayang? Tolonglah, Uyin tahu kan risiko untuk biarkan figura tu semua di rumah umi. Gadaffi, Khaliq dan Fariha pasti patah-patahkan Kent dan kawan-kawannya. Bukan murah Miq beli semua figura tu. Siap ikat perut masa zaman belajar kat Jepun dulu tau!" Zaqwan masih mahu mempertahankan bilik khas figuranya. Tanpa dia sedari Uyin sudah mula menitiskan air mata.
 "Baiklah, Uyin akan sewa apartment berhampiran pejabat Uyin nanti untuk jadikan studio. Untuk 2 bulan nanti Uyin akan tinggal di sana untuk siapkan model-model pameran Uyin. Uyin rasa Miq setuju kan? Baiklah, Uyin nak mandi dulu. Nanti Uyin siapkan makan malam." Uyin mengatur langkah meninggalkan Zaqwan yang termangu mendengarkan kata-kata isterinya. Marahkah Uyin padanya? Atau Uyin serius mahu melaksanakan tugasannya sehingga tidak mahu sebarang gangguan.
Uyin berkhidmat sebagai Pegawai Perhubungan Antarabangsa di salah sebuah syarikat gergasi di ibu kota. namun kerana minatnya kepada seni tanah liat membuatkannya gigih memberi tumpuan kepada kedua-dua minat dan kerjayanya. Sebagai suami serta rakan karib Uyin, Zaqwan amat memahami sikap serius Uyin ketika bekerja dan ketika membuat model tanah liatnya. Berkat usaha Uyin selama 2 tahun mendalami seni tanah liat di Scotland ketika dia melanjutkan pelajaran dahulu, dia berjaya menempa nama sebagai artis yang disegani rakan sealirannya. Walau usianya yang masih terlalu muda jika dibandingkan artis-artis sealirannya yang jauh lebih veteran dan berpengalaman, dia cepat mengadaptasi setiap perubahan persekitarannya untuk diterjemahkan dalam model tanah liatnya. Hasilnya setelah setahun setengah menceburkan diri secara serius dalam bidang seni tanah liat itu, dia sudah boleh turut serta dalam pameran Seni Tanah Liat Antarabangsa bersama barisan artis senior yang banyak menempa nama terlebih dahulu.
Peluang yang ada tidak pernah disia-siakannya. Setiap waktu dihabiskan untuk menghasilkan model yang lebih baik. Sehingga kadang-kadang Zaqwan merasa tersisih. Namun Uyin selalu bijak memujuknya jika dia kelapangan. Hubungan mereka tidak seperti suami isteri lain. Mereka terus mengekalkan persahabatan mereka sehingga seringkali keluarga kedua belah pihak menegur sikap mereka yang sambil lewa. Umi Zaqwan, Datin Yasmin acapkali bertanyakan soal cucu daripada Uyin dan Zaqwan. Mereka kerap berdalih mengatakan mereka masih muda dan belum bersedia. Hampa sekali ibu tua itu apabila anak menantu menidakkan kehendaknya.
Zaqwan yang bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat perkapalan sering meninggalkan Uyin keseorangan dalam melaksanakan tuntutan tugasnya. Namun dek kerana sudah terbiasa sejak berkawan lagi, Uyin tidak ambil kisah. Yang penting suaminya sihat,selamat dan seronok dengan kerjayanya serta menyokong minat Uyin. Mereka seakan lupa soal anak atau perhubungan mereka yang sewajarnya lebih romantis dan intim.

[part two]


0 comments:

 

Template by BloggerCandy.com