[Bila aku perlukan pemerhati melebihi pendengar....]

Saturday, December 8, 2012

4

Pameran model tanah liat mendapat sambutan yang memberangsangkan. Ramai peminat yang datang dari serata dunia memuji model-model hasil ciptaan Uyin. Walaupun masih bertatih dalam dunia seni tanah liat, Uyin berjaya menarik minat ramai untuk mengenal keistimewaan setiap rekaan modelnya. Uyin masih belum berpuas hati malah bertekad untuk terus berusaha sehingga dia berjaya membuat pameran solonya sendiri suatu hari nanti. Dia gembira dan bersyukur kerana mendapat sokongan keluarga terutama suaminya, Zaqwan yang begitu setia membakar semangatnya selama ini.
"Uyin happy tak? Miq bangga sangat dengan isteri Miq. Kalah wanita besi tau." Uyin hanya tersenyum dan memandang lepas ke arah pemandangan indah di hadapannya. Hari ini genap seminggu dia menamatkan pameran tanah liat terbesar di Malaysia. 
"Miq rasa, minat Uyin ni boleh pergi jauh ke? Uyin rasa tak yakinla, lagipun orang kita mana tahu nak hargai seni tanah liat. " Sengaja Uyin mengacah Zaqwan. Masakan dia sesenang itu mahu menyerah kalah. Dia mahu mengukur sejauh mana sokongan suaminya itu terhadap minatnya.
"Miq bukan mahu cakap besarlah Uyin, tapi kalau setakat teko teh Zisha yang terkenal tu, isteri Miq lagi hebat tau ciptaan dia." Bukan main lagi Zaqwan mendabik dada memuji Uyin. Uyin hanya mampu tersengih sebelum mengejar Zaqwan yang makin jauh berlari di gigi air. Setiap bulan, mereka akan cuba meluangkan masa berdua menikmati keindahan matahari terbenam di Pantai Morib. Mungkin kedengaran biasa bagi sesetengah orang, bagi mereka pantai itu banyak menyimpan nostalgia dalam perhubungan mereka.
Selesai menunaikan solat Maghrib di surau berdekatan, mereka beransur pulang ke kediaman mereka yang terletak di Setia Alam. Rumah teres dua tingkat yang terletak berhampiran Setia City Mall itu merupakan hadiah perkahwinan daripada kedua keluarga Zaqwan dan Uyin. Hubungan kekeluargaan yang sememangnya sudah lama terjalin erat itu diteruskan selengkapnya oleh mereka berdua.  Uyin sebetulnya teragak-agak untuk menerima hadiah sebegitu besar nilainya namun setelah dipaksa ummi, dia mengalah demi menjaga hati tua itu. Dia anggapkan sahaja Zaqwan yang menerima hadiah itu, maklumlah Zaqwan itu anak manja ummi yang memang suka segala hadiah pemberian umminya.


0 comments:

 

Template by BloggerCandy.com